Sunday, 6 May 2012

MENANGANI PENGARUH BUDAYA BARAT




 


Wan Ibrahim Wan Ahmad
UUM


PENGENALAN

Perkataan Barat merujuk kepada kelompok negara maju, atau negara industri, yang dari segi geografinya terletak di Amerika Utara dan Eropah Barat. Termasuk juga negara yang disebut negara Barat ialah Australia dan New Zealand. Kelompok negara yang tidak termasuk dalam kelompok ini dikenali sebagai negara membangun atau Negara Dunia Ketiga, yang letaknya berselerak di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

          Negara maju ini lahirnya setelah berakhirnya Perang Dunia Ke-2, tetapi arus kemajuan negara ini bermula selepas Revolusi Industri yang berlaku pada abad ke-18. Selepas banyak kemajuan yang dicapai akibat Revolusi Industri ini, beberapa negara besar Barat yang kaya, khususnya negara Amerika Syarikat dan England menjadi semakin memerlukan negara pinggir (negara mundur dan negara membangun) sebagai pembekal bahan mentah, sekaligus sebagai pasaran bahan ekspot mereka. Selepas Revolusi Industri itu jugalah mereka melihat Negara Dunia Ketiga sebagai sumber kekayaan bagi mereka. Maka wujudlah fasa mencari dunia baru, fasa penjelajahan, fasa kolonialisme, fasa neo-kolonialisme, dan sekarang ini fasa globalisasi, yang semuanya bertujuan untuk menguasai negara membangun dalam segala bidang kehidupan.

         Satu perubahan radikal telah berlaku berikutan berakhirnya Perang Dunia Kedua. Selepas Perang Dunia Kedua Amerika Syarikat telah menjadi negara kapitalis gergasi. Amerika Syarikat sebagai negara yang kaya dianggap sebagai berjaya mendapat pengaruh sebahagian besar negara bekas koloninya melalui rancangan Marshalnya. Sekarang ini penguasaan Amerika Syarikat dan sekutunya di Negara Dunia Ketiga adalah amat luas. Lihatlah susu atau air yang kita minum, makanan-makanan segera yang kita makan yang kononnya melambangkan status, ubat gigi, sabun mandi, barang-barang elektrik, kenderaan atau sebutlah apa sahaja. Ini belum lagi disentuh pinjaman asing, baik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan lain-lain, yang sebenarnya menjalankan fungsi Amerika Syarikat dan sekutunya.

         Amerika dan negara industri Barat sekutu mereka, giat memperhebatkan bantuan bilateral, bantuan multilateral, pelaburan asing, operasi syarikat-syarikat transnasional di seberang laut, dan sekarang ini melalui globalisasi, yang merupakan kesinambungan sejarah neo-kolonialisme yang diciptakan untuk menguasai kehidupan negara membangun. Pada hari ini tidak ada negara yang terkecuali daripada tangan-tangan negara industri Barat. Semua negara ini telah terheret ke dalam sistem dunia yang menuntut semua negara berhubungan dan memerlukan negara lain. Negara maju ini adalah licik dan tidak jujur. Mereka memainkan peranan ini melalui slogan modernisasi yang mereka canangkan. Modenisasi, bagi Wilbert Moore (1963) ialah:

..a total tranformation of a tradisional or pre-modern society into the types of technology and associated social organization that characterize the “advanced”,          economically prosperous, and relatives politically stable nations of the Western World”

         Modernisasi bermula di Barat, dan kemudiannya menjalar ke negara bukan barat. Berdasarkan pengalaman Barat, proses modernisasi itu wujud dalam bentuk sekularisasi, industrialisasi, komersialisasi, meningkatnya mobiliti sosial, meningkatnya taraf hidup, peluang pendidikan, celik huruf, dan pelbagai bentuk yang lain lagi. Proses modernisasi ini terjadi dalam pelbagai bidang kehidupan; sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan.
MENANGANI PENGARUH BUDAYA BARAT

Selepas Revolusi Industri, negara Barat giat memperluaskan pengaruhnya ke negara pinggir melalui proses modernisasi. Tujuan negara maju ini jelas; iaitu agar negara pinggir menjadi pembekal bahan mentah, sebagai pasaran bahan ekspot mereka, dan sekarang sebagai negara pengeluar barangan mereka melalui pelaburan asing dan operasi syarikat-syarikat transnasional mereka di negara pinggir. Untuk meluaskan pengaruh ini, mereka menggunakan pelbagai pendekatan dan alat yang ada, termasuk cara hidup negatif mereka. Salah satu alat yang ampuh ialah budaya budaya hedonism yang telah mendarahdaging dalam kehidupan mereka. Bukan semua budaya Barat itu negatif. Budaya yang negatif adalah budaya hedonism yang dikatakan telah mendarahdaging dalam kehidupan mereka. Lain-lain aspek kehidupan harian mereka, termasuk dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, sistem nilai, dan pelbagai segi kehidupan sosial yang lain, jauh lebih baik daripada budaya kita yang mengaku beragama Islam. Kita atau semua negara Islam yang lain yang mengaku Islam, sebenarnya tidak mengamalkan cara hidup Islam. Malah ada kata-kata sindiran; “jika ingin melihat cara hidup Islam, tengoklah negara Barat; dan jika ingin melihat cara hidup bukan Islam, tengoklah di negara Islam”

         Memang benar. Jika kita berpeluang melawat negara maju ini – sebutlah negara apa – Perancis, German, Belanda, Norway, Sweden, atau pelbagai negara maju lain, kita akan kagum dengan kehidupan manusia di sana. Mereka menghormati orang. Mereka boleh dipercayai . Mereka tidak menipu. Mereka jaga kebersihan, dan pelbagai aspek positif lain yang tidak diamalkan oleh orang Islam. Di negara bukan Barat, termasuk negara Islam, kita tidak menghormati orang. Kita tidak boleh dipercayai. Kita suka menipu. Kita tidak menjaga kebersihan, dan pelbagai aspek negatif lain yang kita amalkan dalam kehidupan.
         Yang perlu kita atasi atau kita hindari ialah budaya hedonism, iaitu budaya yang mengamalkan cara hidup bebas yang tidak berasaskan kepada ajaran agama. Negara Barat melebarkan pengaruh budaya hedonism ini melalui pelbagai saluran, seperti melalui media TV, film, facebook, pelancong-pelancong, buku-buku, dan pelbagai saluran lain lagi. Budaya negatif ini berjaya meresap ke segenap segi kehidupan kita, dan sekarang ia berjaya melahirkan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat kita. Masalah sosial adalah satu bentuk perilaku negatif atau tingkahlaku menyimpang ialah semua bentuk perilaku atau keadaan sosial yang bertentangan dengan nilai, norma ataupun adat kebiasaan masyarakat. Masalah sosial, khususnya dalam kalangan remaja di negara kita akhir-akhir ini boleh dikatakan berada pada tahap yang rumit.

         Hampir setiap hari kita didedahkan dengan berita-berita mengenai gejala negatif remaja dalam masyarakat, bahkan sampai terlibat dengan seks bebas sehingga melahirkan anak luar nikah. Seks bebas sekarang ini tidak lagi dianggap perkara yang memalukan. Jika sebelum ini masyarakat Melayu megah dengan konsep ‘dara’ yang dapat dipertahankan sebagai simbul kesucian anak gadis sunti, akan tetapi ramai anak gadis Melayu sekarang berbangga dengan tidak ada dara. Lebih mengaibkan lagi apabila ramai di antara mereka berbangga dengan status itu dan menganggap rakan yang masih ‘menyimpan’ dara sebagai kumpulan yang ketinggalan zaman.

         Bagaimana kita boleh menangani pengaruh negatif budaya Barat ini?  Adalah agak sukar untuk menangani pengaruh negatif Barat ini. Tugas dan tanggungjawab untuk menangani budaya negatif Barat ini merupakan tugas semua orang. Setiap orang daripada kita, daripada pelbagai lapisan kedudukan, daripada pemimpin hinggalah kepada setiap individu itu sendiri, mempunyai peranan untuk sama-sama berusaha menangani masalah ini. Kita boleh mulakan untuk menangani masalah ini bermula daripada diri kita, dan kita sebagai ketua keluarga. Kita renungkan tiga hadis Rasulullah s. a. w, iaitu (1) setiap orang adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya…”, (2) setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menyahudikannya, menasranikan, atau memajusikannya, dan (3) jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka.

         Tiga hadith Nabi (saw) di atas menggambarkan tugas mengatasi masalah budaya Barat adalah tanggung jawab semua indidvidu dan keluarga. Di peringkat individu, kita bertanggung jawab menjaga diri kita sendiri. Di peringkat keluarga pula, jika kita adalah ketua keluarga, menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga dan mendidik ahli keluarga di bawah jagaan kita agar mematuhi suruhan agama. Sekiranya ketua keluarga mendidik anak-anak mereka sedari awal dengan ketaatan kepada Allah, maka anak-anak ini selalunya menjadi seorang yang patuh dan mempunyai perilaku yang selaras dengan kehendak agama dan masyarakat. Kalaupun anak-anak ini agak nakal di peringkat awal, tetapi akhirnya anak-anak ini, apabila besar mudah diajak kembali untuk mematuhi nilai atau norma masyarakat. Begitu juga jika anak-anak yang dibesar dan dididik dengan kehidup jauh daripada nilai-nilai agama maka anak tersebut mudah cenderung kepada perilaku yang menyimpang apabila mereka besar.
PENUTUP

Sebagai kesimpulannya maka dapatlah dikatakan adalah menjadi tugas setiap individu dan setiap ketua keluarga untuk sama-sama berusaha menangani masalah budaya hedonism Barat. Mula-mula kita jaga diri kita sendiri daripada terpengaruh, kemudian jika kita ketua keluarga, kita jaga tanggungan kita agar tidak terjebak dengan budaya negatif Barat seperti di atas. Jika kita sama-sama berusaha insya-Allah, segala budaya negatif tidak akan dapat berleluasa dalam masyarakat.

Thursday, 5 April 2012

Berkorban Demi Cinta

Oleh:
Abu Mardhiyyah

'Berkorban apa saja
Harta ataupun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan sejiwa'

Ketika aku berjalan di bawah sinaran mentari
Aku melihat dedaun nan rimbun mekar berdiri
Dengan kekuatan kaki ku terus berlari
Seolah menyahut kepulangan yang dinanti

Aku mula berfikir sendiri
Mana mungkin berjaya jika hanya berdiam diri
Berpeluk tubuh dari petang hingga ke pagi
Merenung jauh nun ke sana ke mari

Adakah mungkin akan ku tempuhi
Perjalanan yang jauh hingga ke saat mati
Memerlukan bekalan pahala sebagai ganti
Untuk mendapatkan keredhaan Ilahi

Keringat mula dimamah onak dan duri
Untuk mendapatkan cinta suci
Terpaksa berkorban tinggalkan kepentingan diri
Demi melihat ummah bersatu hati

Aku cuba pasrah dalam hidup ini
Bila mengenangkan nasib menanti
Dosa pahala aku mula peduli
Kenapa aku tidak mengerti

Sejak dari dulu hingga kini
Sunnah Ilahi memerlukan reformasi
Agar diri berubah berevolusi
Membentuk transformasi minda sejati

Memartabatkan Islam memerlukan resepi
Menyampaikan dakwah bijak bestari
Mengikut kaedah al-Quran nan suci
Jangan dilupa Sunnnah Nabi

Kelak mati membawa budi
Di sana menanti hidup kekal abadi
Agar diri tidak diazab di kemudian hari
Mendapat balasan setimpal amalan sendiri

Perlukah aku menghitung lagi
Bila terkenang pengorbanan suci
Nabi Ibrahim mempunyai kekuatan sejati
Korbankan Ismail demi cintakan Ilahi

Hebat sungguh perancangan-Mu Rabbi
Ismail diganti Kibas hakiki
Alangkah gembira tidak terperi
Melihat Ismail menjadi Nabi

Justeru, peristiwa silam membawa erti
Setiap pengorbanan mulia akan diberkati
Nusrah pertolongan Allah adalah pasti
Dilapangkan jiwa ke dalam hati

Korbankan masa dan kepentingan diri
Sampaikan dakwah perjalanan sufi
Demi melihat Islam dihayati
Memerlukan pengorbanan hati nurani

Perlukan jatidiri korbankan peribadi
Apabila berkorban sampai mati
Kerana Allah falsafah hidup diImani
Menjadi Khalifah dan manusiawi

Membawa diri ke alam abadi
Sediakan bekalan amalan rohani
Agar mudah dikemudian hari
Tidak diseksa balasan diberi

Agar hidup menjadi bererti
Bila berpegang kepada kitab Suci
Kerana pengorbanan perlu persiapan rapi
Agar gagah melawan nafsu berahi

Jangan berkira pentingkan diri
Rahmat Allah sentiasa menanti
Mantapkan jasmani arahan diberi
Menjadi manusia lebih berdikari

Betapa peritnya pengorbanan ini
Memperjuangkan Islam demi Ilahi
Keredhaan Allah yang dicari
Pasti hidup aman hakiki

Pengorbanan untuk agama adalah suci
Memerlukan strategi untuk berlari
Agar mudah berjaya di sana sini
Islam adalah cara hidup beraspirasi

Mana mungkin berkorban tidak mengerti
Tuntutan agama laksana tunggul mati
Berpeluk tubuh tanpa usaha diri
Hanya bermain di kepala sendiri

Aku mula mengerti pengorbanan ini
Usaha, doa dan tawakkal bekalan sejati
Ibadah sunat dan wajib ku susun sepulah jari
Mentaati segala suruhan-Nya nanti

telah diterbitkan dalam Majalah VIC edisi 4

Monday, 5 March 2012

Hormati Orang Tua Sayangi Orang Mu


Oleh: Elmi Baharuddin
Editor VIC

Islam adalah agama yang sempurna dan lengkap. Kombinasi Aqidah, syariah dan akhlak akan membentuk manusia yang unggul. Manusia unggul akan melahirkan jiwa yang santun, beradab dan berakhlak mulia. Pembentukan akhlak Islam sangat penting dalam masyarakat. Akhlak mulia adalah salah satu tuntutan dalam Islam. Nabi (s.a.w.) telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia mengikut acuan al-Quran.

Menurut Imam al-Ghazali akhlak adalah sesautu tindakan yang tertanam dalam diri manusia yang tidak direka-reka ketika ia melakukan sesuatu perkara, secara spontan dan tanpa perlu ia berfikir terlebih dahulu. Islam melihat akhlak yang mulia adalah ibarat buah kepada pokok yang lazat dan enak untuk dimakan. Salah satu bentuk akhlak Islam yang penting adalah menghormati orang tua dan menyayangi golongan muda dalam masyarakat.

Hormat Menghormati
           
Hormat adalah tanda penghargaan dan kemuliaan yang diberikan kepada seseorang. Bahkan ia melambangkan tanda rendah diri kepada orang lain sama ada lebih tua, lebih muda, hormat kerana ilmu atau kerana kelebihan tertentu dan sebagainya. Budaya hormat menghormati dalam Islam mampu melahirkan kasih sayang, persefahaman dan rasa tanggungajawab sebagai manusia.

Islam amat menyanjungi mereka yang menghormati dan memuliakan orang lain. Salah satu tanda hormat dan memuliakan orang lain seperti memberi salam, bertanya khabar, mengambil berat dan bertanggungjawab. Islam juga mengajar manusia sentiasa mendoakan orang lain sebagai satu budaya dalam Islam. Seterusnya menghormati orang lain dan hak-haknya yang perlu dilaksanakan agar melahirkan masyarakat yang bersatu hati dengan kesatuan fikrah dan amal.

Hormat Orang Tua

Islam amat memuliakan golongan orang tua. Bahkan mendapat kedudukan yang istimewa terutamanya golongan ibu bapa yang telah banyak berjasa kepada kita. Ibu bapa adalah menusia yang paling berjasa yang perlu dihormati oleh anak dan mendoakan mereka sejahtera di dunia dan di akhirat. Malah Islam meletakkan pengiktirafan yang tertinggi kepada golongan ibu bapa selepas hubungan ketaatan kepada Allah (s.w.t.). Firman Allah (s.w.t.) dalam surah al-Isrā’ ayat 23 yang menerangkan tentang kewajipan untuk berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa seperti maksud berikut:

            Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari   keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu    maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan       "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka        perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

            Menurut al-Zuhaily (1998M/1418H, Jilid 15: 55) telah menerangkan ayat 23 dalam surah al-Isrā’ tentang kewajipan seorang anak kepada orang tua ada lima perkara. Pertama seseorang anak dilarang mengungkapkan perkataan 'ah' kepada mereka. Keduanya dilarang melakukan perbuatan buruk. Ketiga pula hendaklah berkata baik, beradab dan memuliakan mereka. Keempat hendaklah bersifat tawadhuk dan rendah diri agar mendapat syafaat. Manakala yang kelima hendaklah meminta kasih sayang dan rahmat Allah (s.w.t.) untuk mereka berdua.

            Manakala Sayyid Qutb (2000M/1420H, Jilid 10: 182) menjelaskan hubungan pertama selepas hubungan aqidah kepada Allah (s.w.t.) ialah hubungan kekeluargaan. Selain itu, beliau menyatakan peringkat umur tua mempunyai kemulian juga kelemahan. Ia menggambarkan warga tua memerlukan tempat berlindung dan menumpang ketika di usia tuanya. Orang muda dilarang sama sekali mengabaikan golongan tua yang terdiri dari ibu bapa yang akan mengundang kemurkaan Allah (s.w.t.). Islam telah mengharamkan perbuatan menderhaka kepada kedua ibu bapa seperti dalam Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhārī yang berikut:

عن المغيرة بن شعبة, عن النبي صلى عليه وسلم : ان الله حرم عليكم عقوق الامهات.

Maksudnya:

            Dari Mughīrah ibn Shu’bah, Rasulullah (s.a.w.) bersabda: Sesungguhnya Allah telah          mengharamkan menderhaka kepada kedua ibu bapa.

            Berdasarkan firman Allah (s.w.t.) dan Hadis yang telah dinyatakan, maka telah menjadi kewajipan kepada golongan muda agar menghormati kedua ibu bapa dan berbuat baik serta memuliakan golongan warga tua dalam masyarakat. Memuliakan mereka adalah satu ibadah yang mendapat ganjaran dan keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Cara Menghormati

Dewasa ini golongan tua disisihkan dalam masyarakat. Mereka tidak lagi dihormati. Terdapat golongan muda yang menghina golongan ini. Hakikatnya mereka juga akan tua suatu masa kelak. Sebab proses tua adalah proses yang bermulanya kehidupan sehinggalah berlakunya kematian. Maka seharusnya golongan muda menghormati golongan tua dalam masyarakat dengan melakukan khidmat bakti kepada mereka. Antara tindakan golongan muda kepada orang tua menghormati mereka dengan cara seperti berikut:

1) Bercakap dengan lemah lembut kepada mereka.
2) Sentiasa memberi pertolongan dan bantuan ketika mereka memerlukan.
3) Mendoakan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.
4) Merendahkan diri dan bersifat tawadhuk.
5) Memberi khidmat kepada mereka dengan ikhlas.
6) Menyediakan keperluan asas seperti fizikal, mental, spiritual ketika di usia tua.

Sayangi Orang Muda

Selain itu, tanggungjawab orang tua adalah menyayangi golongan muda. Dewasa ini golongan muda kurang disayangi dalam masyarakat. Budaya buang anak, pukul anak sehingga mendatangkan mudharat dan ibu bapa membiarkan mereka dizalimi dan ditindas tanpa memberi pendidikan dan bimbingan dengan rangsangan keagamaan sangat membimbangkan.

Sedangkan sejarah membuktikan anak muda yang dilahirkan dengan penghayatan keimanan kepada Allah (s.w.t.) mampu memerintah dunia dengan adil disebabkan pendidikan yang betul dan berdisiplin dalam erti kata memberi kasih sayang yang sebenarnya. Contohnya bagaimana Salehuddin al-Ayubi ketika di usia muda telah menjadi Sultan yang hebat dan mengetuai ketenteraan menentang tentera Salibiyyah

Sayang bukan bukan bermakna menyayangi dalam bentuk fizikal semata-mata. Tetapi juga menyayangi dalam bentuk spiritual seperti pembinaan dan pendedahan kepada matlamat, visi, misi hidup di dunia dan di akhirat. Semua ini adalah bukti kasih sayang golongan tua kepada anak muda. Sebabnya jika golongan muda mempunyai misi yang hebat sudah tentu mereka juga yang akan cemerlang dan melakukan kebaikan dalam diri seterusnya mereka akan dikasihi kerana berjaya dalam kehidupan.

Selain itu, anak muda perlu diberikan bimbingan yang betul berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Al-Quran mengajar ibu bapa agar mendidik anak-anak sesuai dengan acuan al-Quran. Mereka perlu dibekalkan dengan ilmu untuk mengenal Allah (s.w.t.), kefahaman untuk melaksankan tanggungjawab sebagai hamba, khalifah dan pemimpin masa depan selain menerangkan akan tanggungjawab mereka kepada ibu bapa yang perlu mereka laksanakan. Maka mendidik golongan muda adalah tanda kasih dan sayang warga tua kepada mereka. Hal ini kerana mereka akan menjadi manusia yang berguna di kemudian hari. Sekiranya didikan dan bimbingan yang diberikan betul dan tepat pasti akan melahirkan generasi pemuda yang beriman kepada Allah (s.w.t.) dengan sebenarnya, berilmu dan beramal dalam masyarakat Islam.

Hakikat Orang Muda

Hakikatnya orang muda adalah golongan yang paling dominan dalam masyarakat. Golongan ini sering kali dikatakan golongan yang mempunyai banyak masalah sosial, mempunyai jiwa kacau, tidak jelas hala tuju dan tidak tetap pendiriannya. Sedangkan usia muda adalah satu zaman yang cukup  indah dan penuh dengan keceriaan. Semua keinginan dan kemahuan dituruti dengan penuh kegirangan yang berpanjangan. Gelak tawa, senda gurau dan keseronokkan adalah lambang kepada kehidupan anak muda masa kini.

Maka tidak hairanlah mereka seringkali alpa dan leka untuk memikirkan masa depan yang bakal menjelma. Apatah lagi memikirkan kesan dan akibat dari sesuatu perkara buruk yang bertentangan dengan la-Quran dan al-Sunnah yang telah mereka lalukan ketika di usia muda. Selain itu, golongan muda juga seringkali dipinggirkan dalam banyak situasi. Ibu bapa selalu sibuk dengan kerja-kerja yang tidak pernah habis di pejabat. Maka mereka cuba untuk membawa diri dengan cara mereka. Maka lahirlah golongan pemuda yang rosak aqidahnya, tidak tahu halal haram, tidak menghormati orang tua, kecelaruan jantina dan berhadapan dengan pelbagai kes jenayah berat.

Hakikat Sayang

Sayang adalah sesuatu yang abstrak. Ia bergantung kepada tujuan apa untuk sayang. Manusia sering kali mengatakan sayang, tetapi hakikatnya mereka merosakan anak mereka. Terdapat ibu bapa yang sayang dengan cara memberikan kemewahan hidup kepada golongan muda tanpa batasan. Bahkan kepercayaan seratus peratus tanpa ada unsur selidik menyelidiki kepada golongan ini akan mendatangkan malapetaka yang besar. Seharusnya orang tua menyayangi mereka dengan cara memberi didikan yang berterusan tanpa mengenal erti penat dan jemu. Semoga kita menjadi manusia yang menghormati golongan tua dan menyayangi golongan muda mengikut ajaran Islam. Wallahu a’lam.


          # telah diterbitkan dalam edisi cinta majalah VIC2012
            

Saturday, 11 February 2012

Seni Hiburan Islam




Oleh:
Elmi Bin Baharuddin

Islam adalah satu cara hidup yang lengkap. Ia merangkumi semua aspek kehidupan dunia dan akhirat. Manusia yang mengambil Islam sebagai gaya hidup hendaklah mengambil Islam secara menyeluruh dalam kehidupan mereka. Allah (s.w.t.) telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 208:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya musuh yang nyata bagimu.”

Pemisahan amalan agama dengan keduniaan adalah bertentangan dengan Islam yang dipanggil sebagai sekularisme. Muhammad Qutb telah menerangkan perkataan sekularisme sebagai ‘iqamah al-hayat ‘ala ghayri asaasin min al-din’. Maksudnya mengatur kehidupan dengan tidak berasaskan kepada agama. Manakala mengikut Taqiyuddin pula memisahkan agama dalam kehidupan ‘fashl al-din an al-hayah’.

Maka sekularisme bukan hanya berlaku dalam pemisahan agama dengan dunia politik semata-mata, tetapi juga pemisahan agama dalam bidang hiburan. Seharusnya seni hiburan mengikut cara Islam perlu diterapkan kepada masyarakat sebagai satu fitrah dan sebahagian dari Islam.

Prinsip Seni Hiburan

Seni adalah sesuatu yang indah yang memerlukan banyak pengalaman atau kemahiran dari seseorang. Mengikut Mustafa Daud kesenian hiburan Islam adalah dicetuskan dengan niat untuk mendapat keredhaan Allah (s.w.t.) yang bertunjangkan kepada nilai tauhid, syariat dan akhlak. Justeru, kesenian hiburan dalam Islam seharusnya berunsurkan keindahan yang mampu menjadikan manusia terpesona apabila melihat atau mendengarnya serta dalam masa yang sama dapat mendekatkan diri kepada pencipta-Nya.

 Islam tidak menghalang kesenian yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan Allah (s.w.t.) menyatakan dalam surah al-Maidah ayat 87 supaya jangan mengharamkan sesuatu yang baik seperti dalam ayat berikut yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah kepadamu, dan janganlah kamu melampau batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampau batas

Selain itu, Rasulullah (s.w.t.) telah bersabda dalam riwayat Muslim yang menunjukkan Allah (s.w.t.) suka kepada keindahan seperti berikut: 

“Sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan kepada keindahan”

Justeru, Islam melihat tiga prinsip utama yang perlu diambil kira dalam seni hiburan Islam iaitu matlamat, kandungan dan sumber.

Matlamat

Kesenian Islam hendaklah bermatlamatkan kepada mencari keredhaan Allah (s.w.t.). Ia harus bertujuan membawa kepada kesejahteraan kepada masyarakat dan negara. Tujuan untuk bermegah-megah, mendapat pujian, sanjungan, membangkitkan nafsu, merosakan aqidah adalah dilarang sama sekali. Begitu juga walaupun tujuannya adalah murni tetapi perlaksanaan tidak betul, maka dikira salah dan berdosa. Contohnya mengadakan konsert kutipan derma Amal Palastin. Tetapi cara persembahan mendadahkan aurat, bercampur lelaki dan perempuan, meninggalkan solat maghrib dan isyak maka hukumnya adalah haram.

Kandungan

Islam amat menitikberatkan isi kandungan dan nilai seni hiburan yang betul. Seharusnya nilai kandungan seni hiburan adalah nilai-nilai yang boleh menghidupkan manusia dengan sentiasa ingat dan takut kepada Allah (s.w.t.). Isi kandungan seni hiburan yang terbaik adalah nilai seni yang mampu menambah keimanan, ketaqwaan dan amal soleh sama ada dari segi individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Sumber

Seni hiburan Islam mestilah bersumberkan kepada al-Quran al-Sunnah. Menghasilkan seni hiburan yang bersumberkan kepada al-Quran dan al-Sunnah sudah pasti ia menjadi seiring dengan kehendak ajaran Islam yang syumul. Maka sekiranya seni hiburan itu ada unsur pengaruh agama lain adalah haram di sisi Islam. Maka hendaklah dijauhi.

Bidang Seni Hiburan Islam

Seseorang akan terhibur melalui banyak cara. Ada orang terhibur melalui pandangan, pendengaran dan pengamalan. Namun perlu diingatkan bidang seni hiburan tersebut mestilah menggunakan prinsip-prinsip hiburan yang telah dinyatakan. Antara cabang seni hiburan Islam adalah seperti berikut:

1.      Seni Lakon: seperti lakonan filem dan drama TV.
2.      Seni Suara: seperti kemerdua, kemantapan, kelunakan vokal dalam mendendangkan senikata dan lirik yang telah digubah.
3.      Muzik: iaitu seni bunyi yang terhasil dari alat muzik yang dicipta.

Pandangan Ulama Seni Hiburan

Ulama telah memberikan beberapa garis panduan tentang seni hiburan dalam Islam. Antaranya adalah seperti berikut:

Pandangan Syeikh Rasyid Redha

Mengikut pembentangan kertas kerja Prof. Dr. Siti Rogayah Hj Tibek yang bertajuk “Seni Lakon (Drama, Teater dan Filem) Dari Perspektif  Islam” telah menyatakan fatwa yang dibuat oleh Syeikh Rasyid Reda berkenaan seni lakon iaitu pelakon yang mendedahkan aurat dan bergaul dengan bukan muhram adalah haram.

Begitu juga walaupun untuk tujuan pendidikan dalam drama atau filem yang terdapat adegan kemesraan seperti ayah dan anak gadis yang berpegangan tangan adalah haram sekiranya bukan muhramnya. Maka unsur yang bertentangan dengan Islam adalah ditegah dalam lakonan. Hal ini kerana beliau lebih mengutamakan pencegahan kerosakan berbanding sedikit kebaikan dari hasil seni lakonan tersebut. 

Pandangan Imam al-Ghazali

Hukum nyanyian dan muzik adalah harus dalam Islam. Iaitu selagi tidak bercanggah dengan syarak. Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda dalam riwayat Bukhari seperti hadis berikut:
Dari Aiyah (r.a.h) bahawa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat lelaki Ansor, maka Nabi (s.a.w.) bertanya: Hai Aisyah! Apakah mereka ini disertai dengan suatu hiburan? Sebab orang-orang Ansor gemar sekali terhadap hiburan”.

            Maka sekiranya terdapat unsur hiburan yang merosakan iman, mencemarkan agama, pendedahan aurat dan terlalai dari mengerjakan ibadah wajib adalah haram.

Pandangan Syeikh Ali Tantawi

Kertas Kerja “Seni Suara Manifestasi Dendangan Syaitan” ada menjelaskan secara langsung tentang hiburan dalam Islam. Hakikatnya Islam tidak mengharamkan senikata lagu yang terusun elok melainkan dalam beberapa perkara yang menjadi Haram seperti berikut;

1) Kerana senikatanya haram.
2) Penyanyi perempuan yang menyayikan untuk lelaki yang bukan muhramnya.
3) Masa persembahan tidak menghalang ibadah wajib.
4) Program atau majlis yang berlangsung tidak bercampur lelaki dan perempuan secara bebas.
5) Kesan nyanyian kepada pendengar yang melahirkan perilaku buruk.

Kesimpulannya

Islam adalah agama yang cukup sempurna. Maka setelah menilai seni hiburan dalam Islam, seharusnya umat Islam peka dan sensitif kepada perkara yang boleh mendatangkan dosa dari hiburan. “Berhibur tiada salahnya kerana hiburan itu indah. Hanya apa bila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah” begitu bait-bait kumpulan Raihan yang melagukan tentang keharusan berhibur dalam Islam.

Menunjukkan hiburan adalah fitrah yang disukai oleh manusia. Rasulullah (s.a.w.) selalu meminta kepada Allah (s.w.t.) tentang perkara yang mengembirakan dan menceriakan. Maka baginda memohon kepada Allah (s.w.t.) agar dijauhkan dari kesedihan seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari seperti yang berikut:

“Ya Allah, saya memohon perlindungan kepada-Mu daripada rasa bimbang dan sedih”

Semoga Allah (s.w.t.) memberi kepada umat Islam hati yang terhibur, tenang dan ceria dalam menjalani kehidupan sebagai hamba yang bertaqwa. Wallahu a’lam.
#telah diterbitkan dalam majalah VIC edisi 5