Thursday 5 January 2012

MENGAMALKAN SEMBAHYANG SUNAT ISTIKHARAH SEBAGAI GAYA HIDUP

Oleh:
Zuraidah Muhidin

Pendahuluan :

Sembahyang ini bertujuan memohon kepada Allah (s.w.t.) agar diberi petunjuk bagi membuat pilihan atau melaksanakan keputusan yang tepat dan terbaik. Terdapat Hadis daripada Jabir bin ‘Abdillah (r.a.) yang menyatakan Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud :
 “Jika salah seorang di antara kalian berkeinginan keras melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat yang bukan solat fardu …”
Seringkali di dalam hidup, kita menghadapi persimpangan dalam membuat pilihan. Sebagai insan yang lemah, kita tidak mengetahui apa yang bakal menunggu kita di masa hadapan. Namun sebagai khalifah Allah (s.w.t.) yang memegang amanah mengisi kehidupan di dunia ini dengan perkara-perkara kebaikan bagi mendapat keredhaan-Nya. Bahkan segala rintangan hidup ini perlu kita diteruskan. Namun sebagai hamba Allah (s.w.t.) yang yakin dengan rahmat, belas kasihan, keagungan dan segala sifat keindahan yang ada pada-Nya, kita hendaklah sedar bahawa hanya pada-Nyalah tempat kita mengadu, memohon pertolongan, petunjuk serta taufik dan hidayah bagi melakukan pilihan atau melaksanakan keputusan yang tepat.
Dalam hal ini, Rasululah (s.a.w.) telah menunjukkan kepada kita contoh tauladan melalui  amalan  sunnah  baginda  akan   cara-cara untuk  kita mendekatkan diri ( taqarrub ) kepada Allah (s.w.t.) dan memohon petunjuk-Nya di kala kita berada dalam persimpangan atau kemelut untuk membuat sesuatu keputusan atau mengambil sesuatu tindakan yang kita tidak pasti atau ragu-ragu atau kebingungan dalam menjalani kehidupan.
Contohnya
Umpamanya kita mempunyai beberapa pilihan fakulti untuk meneruskan pelajaran, hinggakan kita tidak tahu membuat pilihan. Atau kes lain misalnya kita tidak pasti kursus apakah yang perlu diutamakan untuk kita ambil. Meskipun selepas berbincang dengan orang yang lebih arif namun kita masih rungsing samada keputusan yang dibuat tepat atau tidak. Ataupun kita menghadapi persimpangan dalam memilih teman hidup yang paling sesuai dengan kita dan keluarga. Atau kita tersepit di dalam membuat pilihan untuk tinggal dengan ibu atau ayah yang telah bercerai.
Dalam menghadapi kerungsingan atau kemelut seumpama ini ada manusia yang mengambil jalan singkat yang bertentangan dengan agama. Ada yang menghisab rokok berbungkus-bungkus kononnya untuk mencari ilham, ada yang berhibur sahaja kononnya untuk melupakan kemelut dan masalah dan ada yang lebih buruk lagi mengambil arak dan dadah .
Mengapa tidak kita ikuti sunnah Nabi dengan mendekatkan diri kepada Allah dengan lebih rapat lagi melaui ibadah? Ibadah yang dimaksudkan ialah sembahyang sunat istikharah. Jalan ini lebih mudah, indah dan memberi ketenangan. Bukankah kita ini hamba-Nya? Bukankah kita ini lemah? Bukankah Dia yang menciptakan kita dan bukankah Dia Yang Maha Mengetahui segalanya? Bukankah Dia Maha Pengampun dan Bukankah Dia Maha Penyayang?
Oleh itu marilah kita berazam cuba menjadikan sembahyang sunat istikharah ini sebagai amalan gaya hidup kita dan sering menjadi teman untuk kita mendekatkan diri kepada Allah apabila ingin membuat sesuatu pilihan atau ketika berada dalam persimpangan dan dilema dalam hidup kita sebagaimana firman Allah (s.w.t.):
Dan apabila hambaKu bertanya tentang Aku, maka katakanlah bahawa Aku dekat.Aku mengabulkan doa orang yang berdoa orang yang berdoa memenuhi keperluan segala permintaanKu agar mereka selalu dalam kebenaran“ (al-Baqarah: 186 )



Justeru itu, selesai memohon petunjuk dari-Nya kita akan dapat melapangkan dada dan menengkan keresahan jiwa setreusnya menerima takdir-Nya dan meneruskan kehidupan .

Keterangan Sembahyang Sunat Istikharah :

1.      Lafaz dan niat

2.      Rakaat pertama

Baca surah al fatihah dan diikuti dengan surah al-kafirun

3.      Rakaat ke-dua

Baca surah al-fatihah dan surah al-ikhlas. Selepas memberi salam bacalah doa seperti berikut. Jika anda tidak boleh membaca dalam Bahasa Arab, maka bacalah doa ini dan hayatinya sebagaimana terjemahan. Mulakan doa dengan pujian kepada Allah dan sudahi doa dengan selawat :

“ Ya Allah, sesungguhnya aku meminta petunjuk yang baik daripada-Mu dengan ilmu-Mu, aku meminta kekuatan dari-Mu dengan kekuatan-Mu, aku meminta dari-Mu kelebihan-Mu yang banyak, maka sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa, aku tidak berdaya, Engkau Maha Mengetahui, aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang paling mengetahui yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untukku dan agamaku,duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang, maka tentukannya untukku dan permudahkannya kepadaku. Jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini tidak baik untukku, pada agamaku,duniaku dan kesudahan urusanku buat masa ini dan masa akan datang maka elakkannya daripadaku dan elakkan diriku daripadanya, tentukanlah kebaikan untukku di mana saja aku berada, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala sesuatu “
   
Panduan:

1.Saat yang paling afdhal berdoa ialah sewaktu sujud. Oleh itu anda digalakkan berdoa sewaktu sujud terakhir sebelum duduk tahiyyat akhir pada rakaat ke dua. Tetapi berdoa di dalam hati sahaja dan tidak dilafazkan. Waktu kita sujud, inilah ketikanya Allah (s.w.t.) paling hampir dengan hamba-Nya.
 2.Mudah-mudahan selepas menunaikan sembahyang ini Allah (s.w.t.) akan menunjukkan tanda-tanda kepada kita dalam membuat keputusan. Mungkin dalam bentuk ilham yang mana sebelum ini kita tidak boleh membuat keputusan, namun selepas beberapa ketika kita sembahyang istikharah, kita mampu membuat keputusan dengan mudah dan berkesan. Atau mungkin tanda lain yang kita secara peribadinya kita memahami bahawa ianya adalah petunjuk dan hidayah Allah (s.w.t.). 
3.Kita boleh berulang kali melakukan sembahyang sunat ini sehingga kita boleh mendapat keyakinan dalam membuat pilihan. Lakukan dengan tekun. Sebaik-baiknya dilakukan pada waktu kita qiamulail atau waktu tengah malam selepas solat sunat tahajud. Kemudiannya apabila kita tidur semula, pastinya kita berada dalam keadaan wudhuk dan tenang. Mudah-mudahan selepas itu kita mendapat petunjuk-Nya. Walaubagaimanapun kita boleh melakukan sembahyang istikharah pada mana-mana waktu yang harus untuk bersembahyang.
Kesimpulan
Apabila kita telah memohon kepada Allah (s.w.t.), hendaklah kita bersabar. Apa jua keputusan atau pilihan yang kita buat, kita serahkan kepada Allah (s.w.t.) untuk memelihara dan menjayakanya dan sentiasalah bermohon agar Allah (s.w.t.) memberi kerahmatan-Nya di dalam kita menempuh kehidupan. Istiqamah atau berterusanlah menjadikan Allah (s.w.t.) sebagai tempat kita bergantung. Di samping itu hiasilah diri kita dengan perkara-perkara kebaikan sebagaimana firman-Nya :

Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat baik

                                                                                    (ali-Imran: 134) 
  
Akhir sekali bertawakallah kepada-Nya dalam setiap urusan hidup kita:

“Sesungguhnya Allah menyintai orang yang bertawakkal kepada-Nya“
                                               
                                                                                    (ali-Imran : 159)