Sunday 3 June 2012

cabaran pasangan baru kawin


oleh: Elmi Baharuddin

Perkahwinan adalah ibadah dalam Islam. Ia merupakan kesinambungan zuriat dan kelestarian kehidupan manusia. Islam mamandang hina kepada mereka tidak mahu berkahwin tetapi bersekedudukan sehingga melahirkan anak luar nikah dalam masyarakat. Ajaran Islam sangat menitikberatkan soal perkahwinan sehingga Nabi (s.a.w.) bersabda kawinkanlah anakmu jika sudah sampai jodohnya. Persoalannya ungkapan kahwin sangat mudah, tetapi untuk merealisasikan selepas perkahwinan adalah cabaran yang sangat hebat terutamanya kepada pasangan yang baru nikah.

            Terdapat beberapa cabaran yang perlu dipandang serius oleh pasangan yang baru berkahwin. Ia meliputi soal cabaran kerohanian, cabaran emosi, cabaran intelektual dan cabaran kebendaan. Seharusnya pasangan yang hendak berkahwin hendaklah memikirkan keempat-empat cabaran tersebut dengan penuh penghayatan. Hal ini memandangkan ramai dalam kalangan pasangan yang baru berkahwin menghadapi pelbagai ujian dan tribulasi kehidupan yang nyata.

Cabaran Kerohanian

Pasangan yang baru kahwin hendaklah memantapkan amalan kerohanian mereka. Suami dan isteri mestilah mengamalkan syariat Islam sama ada yang berbentuk fardhu ain, fardhu kifayah dan amalan sunat yang lain. Kekuatan kerohanian dalam rumah tangga adalah senjata ampuh untuk berhadapan dengan cabaran semasa.

Solat lima waktu perlulah disempurnakan dalam keluarga. Jangan memandang ringan soal solat lima waktu. Ramai dalam kalangan pasangan yang baru kawin meninggalkan solat terutamanya solat subuh. Seharusnya pasangan suami isteri sentiasa mengamalkan solat berjamaah sama ada di rumah mahupun di surau-suraun dan masjid. Kerana solat berjamaah akan emmbentuk kekuatan ummah yang hebat.

Ramai juga yang beralasan untuk tidak datang ke surau dan masjid disebabkan terdapat anak-anak yang masih kecil. Bahkan terdapat juga segelintir nazir, imam dan AJK surau dan masjid melarang anak kecil dibawa ke surau dan masjid. Hal ini sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Sedangkan Islam tidak melarang, tetapi iba bapa hendaklah menjaga mereka sehingga tidak mengganggu jamaah yang lain. Hal ini salah satu cara untuk mendidik anak-anak agar sentiasa terpaut hatinya di rumah Allah (s.w.t.).

Selain itu, pasangan yang baru kawin juga hendaklah menjadikan bacaan al-Quran sebagai bacaan lazim mereka setiap hari. Bahkan mereka juga hendaklah sentiasa memerhatikan maksud dan huraiannya. al-Quran adalah petunjuk iaitu al-huda. Barang siapa yang membacanya pasti akan keluar dari kesempitan hidup dan mendatangkan ketenangan jiwa yang sebenarnya. Maka penghayatan al-Quran secara eksklusif oleh pasangan baru kawin sedikit sebanyak mampu menghadapi cabaran hidup yang kian mendatang.

Selain itu, amalan-malan sunat seperti bacaan al-ma’thurat, solat sunat rawatif, puasa sunat dan bersedekah adalah bentuk-bentuk amalan kerohanian dalam keluarga Islam. Doa juga berperanan mendatangkan ketenagan dalam keluarga Islam. Seharusnya pasangan yang baru kawin mengamalkan doa-doa yang ma’thur dari Rasulullah (s.a.w.) sebagai perisai dalam keluarga. Maka kekuatan kerohanian ini dapat menghadapi cabaran kehidupan yang makin menghimpit umat Islam.

Cabaran Emosi

Sebelum kawin semuanya cantik, elok dan wangi. Bila sudah kawin sedikit sebanyak menjejaskan pelbagai emosi. Hal ini kerana niat berkahwin tidak betul dan bahkan salah. Macam mana hendak mendapat keberkatan dalam perkahwinan. Jika niat berkahwin kerana Allah (s.w.t.) sudah tentu akan lahir kenenangan emosi dalam keluarga yang dibina.

Bukan bermakna sesebuah keluarga yang berkat tidak pernah bergaduh, berselisih pendapat dan sebagainya. Tetapi ia mestilah berdasarkan adab-adab dan nilai tatasusila yang dibenarkan oleh syariat Islam. Suami ketua keluarga mestilah mendidik anak dan isteri dengan penuh kasih sayang dan hormat menghormati.

Hal ini kerana perkahwinan bukanlah untuk keseronokkan hidup semata-mata. Tetapi ia adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Iaitu si suami menanggung segala macam yang terjadi dalam keluarga di samping menjawab kepada Allah (s.w.t.) di akhirat kelak.

Maka maaf memafkan, bertimbang rasa, hormat menghormati pasangan adalah akhlak yang mulia yang boleh mengurangkan emosi dalam keluarga. Isteri hendaklah patuh perintah suami selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam. Suami pula janganlah memberi arahan seperti robot sahaja. Bantulah para isteri. Bertimbang rasa akan mengurangkan ketegangan emosi dalam keluarga.

Sementara itu, para isteri juga mestilah bijak dalam mengurus rumah tangga. Sebelum bercakap berfikirlah dahulu dua tiga kali. Lihat suasana dan persekiran. Fahami keadaan. Contohnya ‘suami aku ini baru balik kerja, pasti dia letih!’. Maka jangan terus menerjah, menyoal dan mempertikaikan sesuatu perkara. Bersabarlah, bertenanglah dan bersangka baiklah dalam rumah tangga. Ia adalah adalah kunci kebahagian dalam menghadapi emosi pasangan yang baru kawin.

Cabaran Intelektual

            Pasangan baru kahwin juga berhadapan dengan krisis ilmu terutamanya ilmu pengatahuan agama dan ilmu alat. Ramai dalam kalangan pasangan yang tidak memahami tanggungjawab kepada agama, ibu bapa pasangan masing-masing, tidak tahu membaca al-Quran, tidak tahu solat dan sebagainya. Seharusnya mereka meningkatkan inteketual mereka dengan menimba ilmu dengan semaksima yang boleh.

Hari ini untuk mendapatkan ilmu pengetahuan agama tidaklah sepayah ketika dahulu. Media massa seperti Tv al-Hijrah, tanyalah ustaz Tv9, radio IKIM.com dan ribuaan lagi blog-blog dan Muka Buku (fb) yang bersifat Islamik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan agama. Bahkan di masjid-masjid dan surau juga adalah medan ilmu agama sekiranya pasangan baru kawin menjadikan institusi masjid dan surau sebagai kunjungan rasmi sekurang-kurangnya waktu Maghrib hingga Isyak. Sebab waktu itulah kebiasaan kuliah dan ceramah agama di adakah di masjid-masjid dan surau.

Begitu juga dalam ilmu alat seperti membaiki paip rumah yang rosak, berkebun, menanam sayur dan sebagainya. Seharusnya pasangan baru kawin mempunyai misi dan visi agar memantapkan intelektual dalam semua bidang ilmu pengetahuan. Pasangan yang mengusai pelbagai ilmu akan dapat mengimbangi cabaran semasa dalam rumah tangga. Sebab semuanya diketahui dan dilalui dengan penuh penghyatan dan keazaman yang mantap. Sekiranya pasangan yang baru kawin mempunyai pengetahuan agama dan ilmu alat, maka mereka tidak akan berhadapan dengan cabaran intelektual yang digembar-gemburkan oleh kebanyakan pihak.

Cabaran Meterialistik

Ramai dalam kalangan ibu bapa yang menitikberatkan persoalan meterialistik dalam pemilihan calon menantu mereka. Ibu bapa lebih memilih soal harta berbanding agama dari segi akhlak dan penghatan agama. Tidak dapat dinafikan hakikat kepentingan material dalam sesebuah keluarga. Justeru, cabaran material perlulah ditangangi dengan baik antara pasangan suami isteri.

Keperluan asas seperti rumah, makanan dan pakaian adalah keperluan yang wajib. Pasangan suami isteri henkdaklah sentiasa memikirkan untuk mempunyai rumah sendiri walapun permulaannya adalah menyewa. Sikap jimat cermat dan tidak berboros serta sentiasa menabung adalah salah satu cara untuk membina kekuatan material dalam keluarga. ‘Ukur baju di badan sendiri’ itulah ungkapan lagu agar pasangan baru kahwin tidak menghadapi cabaran keluarga berupa kemiskinan dan kepayahan hidup terumanya di bandar-bandar besar.

Budaya makan juga hendaklah diubah. Kalau dahulu semasa bujang makan sendiri lebih gemar makan di kedai, namun bila sudah berkeluarga biasakanlah untuk makan di rumah. Di samping makanan yang bersih dan jimat, isteri juga mendapat pahala yang banyak serta keberkatan dalam keluarga.

Begitu juga amalan dan cara berpakaian. Pentingkan pakaian yang menutup aurat sahaja. Jangan terlalu mementingkan fesyen, ikut kawan dan kemewahan yang lain. Maka para suami haruslah menyediakan keperluan asasi ini dengan sekadar kemampuan sahaja. Selain itu, banyak lagi persiapan material yang sewajarnya disediakan dalam keluarga. Namun hendaklah mendahaulukan yang dahulu dan mengkemudiankan yang kemudian. Barulah rumah tangga aman harmoni.

Kesimpulannya

Hakikatnya, cabaran pasangan yang baru berkahwin adalah fitrah dan asam rumah tangga. Jika semua pihak sama ada suami, isteri dan anak-anak berperanan dan berfungsi pada kedudukan masing-masing, maka cabaran dalam keluraga Islam akan dapat diselesaikan denganb baik. Seterusnya akan melahirkan keluragaku syurgaku di dunia ini.

Semoga Allah (s.w.t.) memberi kepada pasangan yang baru kahwin ini hati-hati yang tenang, sabar dan berlapang dada dalam segala tindakan yang tidak bertentangan dengan syaraiat Islam. Selain itu, memaafkan pasangan yang sifatnya remeh temah sahaja adalah sangat penting. Maka dengan itu lahirkan pasangan yang mampu berhadapan dengan cabaran global masa kini. Wallahu a’lam.

telah diteritkan dalam VIC 2012

No comments:

Post a Comment