Friday 5 October 2012

ketenangan dalam bekerja


Ketenangan Dalam Bekerja


Kerja dalam Islam adalah amal perbuatan sama ada baik atau buruk berdasarkan kepada terma dan syarat. Maksudnya seseorang yang bekerja sedang melakukan amal sama ada baik atau sebaliknya dalam kehidupan seharian.
Islam mengiktiraf sesebuah pekerjaan yang tidak bertentangan dengan Islam sebagai Ibadah. Ibadah dalam Islam sangat luas. Ia meliputi ibadah yang wajib, sunat dan umum. Maka dalam konteks pekerjaan adalah dikira sebagai ibadah umum. Ibadah umum adalah pekerjaan yang dilakukan untuk keduniaan tetapi mendapat ganjaran pahala dari Allah (s.w.t.) seperti berniaga, membuat jalan raya, menanam padi dan sebagainya.
Namun begitu, ibadah umum adalah ibadah secara tidak langsung kepada Allah (s.w.t.) yang mempunyai beberapa syarat. Antaranya semasa bekerja seseorang tidak meninggalkan sesuatu yang wajib seperti solat, puasa dan mengeluarkan zakat. Selain itu, bekerja akan dikira ibadah sekiranya pekerjaan yang dilakukan adalah kerana mengharapkan keredhaan Allah (s.w.t.) dan bukan kerana selainnya.
Justeru, ramai manusia yang bekerja dengan penuh kesungguhan, tetapi tidak mendapat ketenangan. Bahkan terdapat pula para pekerja yang gelisah, bosan dan tidak ada jati diri ketika bekerja. Terdapat juga para pekerja yang memikirkan bila boleh naik pangkat, bila akan dapat bonus dan selalu mencari alasan untuk tidak melakukan kerja dengan bermutu.
Seharusnya para pekerja yang hebat adalah mereka yang sentiasa taat kepada Allah (s.w.t.) iaitu mengikut apa-apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa juga larangan-Nya, cintakan kepada Nabi (s.a.w.) lebih dari keluarga, anak dan manusia seluruhnya, hendaklah bekerja di posisi masing-masing dan yakin akan hari akhirat. Sekirnya keempat-empat perkara ini dihayati dengan sepenuh jiwa, pasti para pekerja akan melakukan pekerjaan dengan penuh iltizam, mantap dan ceria. Sebab semuanya akan diaudit oleh Allah (s.w.t.) di akhirat kelak.
Maka seseorang yang mempunyai keempat-empat fomula ini, insyaAllah akan mendapat ketenangan dalam bekerja. Kerana pekerjaan adalah Ibadah yang mendatangkan pahala sekiranya dihayati dengan sepenuh hati dan jiwa dalam lapangan pekerjaan. Semoga warga KPTM Bangi bekerja dengan ikhlas, bukan bekerja kerana bos, tetapi bekerja kerana tuntutan agama iaitu kerana Allah (s.w.t.). Maka besempena awal hijrah 1433 dan tahun baru 2012 ini marilah sama-sama berubah menjadi pekerja yang berilmu, beriman dan beramal soleh. Seterusnya menjadi pekerja yang ceria dan memahami tanggungjawab sebagai pekerja. Wallahu a'lam.

Ustaz Elmi Baharuddin
Pensyarah Pengajian Islam, KPTM Bangi

telah diterbitkan dalam buletin WARNA KPTM BANGI