Monday 5 March 2012

Hormati Orang Tua Sayangi Orang Mu


Oleh: Elmi Baharuddin
Editor VIC

Islam adalah agama yang sempurna dan lengkap. Kombinasi Aqidah, syariah dan akhlak akan membentuk manusia yang unggul. Manusia unggul akan melahirkan jiwa yang santun, beradab dan berakhlak mulia. Pembentukan akhlak Islam sangat penting dalam masyarakat. Akhlak mulia adalah salah satu tuntutan dalam Islam. Nabi (s.a.w.) telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia mengikut acuan al-Quran.

Menurut Imam al-Ghazali akhlak adalah sesautu tindakan yang tertanam dalam diri manusia yang tidak direka-reka ketika ia melakukan sesuatu perkara, secara spontan dan tanpa perlu ia berfikir terlebih dahulu. Islam melihat akhlak yang mulia adalah ibarat buah kepada pokok yang lazat dan enak untuk dimakan. Salah satu bentuk akhlak Islam yang penting adalah menghormati orang tua dan menyayangi golongan muda dalam masyarakat.

Hormat Menghormati
           
Hormat adalah tanda penghargaan dan kemuliaan yang diberikan kepada seseorang. Bahkan ia melambangkan tanda rendah diri kepada orang lain sama ada lebih tua, lebih muda, hormat kerana ilmu atau kerana kelebihan tertentu dan sebagainya. Budaya hormat menghormati dalam Islam mampu melahirkan kasih sayang, persefahaman dan rasa tanggungajawab sebagai manusia.

Islam amat menyanjungi mereka yang menghormati dan memuliakan orang lain. Salah satu tanda hormat dan memuliakan orang lain seperti memberi salam, bertanya khabar, mengambil berat dan bertanggungjawab. Islam juga mengajar manusia sentiasa mendoakan orang lain sebagai satu budaya dalam Islam. Seterusnya menghormati orang lain dan hak-haknya yang perlu dilaksanakan agar melahirkan masyarakat yang bersatu hati dengan kesatuan fikrah dan amal.

Hormat Orang Tua

Islam amat memuliakan golongan orang tua. Bahkan mendapat kedudukan yang istimewa terutamanya golongan ibu bapa yang telah banyak berjasa kepada kita. Ibu bapa adalah menusia yang paling berjasa yang perlu dihormati oleh anak dan mendoakan mereka sejahtera di dunia dan di akhirat. Malah Islam meletakkan pengiktirafan yang tertinggi kepada golongan ibu bapa selepas hubungan ketaatan kepada Allah (s.w.t.). Firman Allah (s.w.t.) dalam surah al-Isrā’ ayat 23 yang menerangkan tentang kewajipan untuk berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa seperti maksud berikut:

            Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari   keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu    maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan       "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka        perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

            Menurut al-Zuhaily (1998M/1418H, Jilid 15: 55) telah menerangkan ayat 23 dalam surah al-Isrā’ tentang kewajipan seorang anak kepada orang tua ada lima perkara. Pertama seseorang anak dilarang mengungkapkan perkataan 'ah' kepada mereka. Keduanya dilarang melakukan perbuatan buruk. Ketiga pula hendaklah berkata baik, beradab dan memuliakan mereka. Keempat hendaklah bersifat tawadhuk dan rendah diri agar mendapat syafaat. Manakala yang kelima hendaklah meminta kasih sayang dan rahmat Allah (s.w.t.) untuk mereka berdua.

            Manakala Sayyid Qutb (2000M/1420H, Jilid 10: 182) menjelaskan hubungan pertama selepas hubungan aqidah kepada Allah (s.w.t.) ialah hubungan kekeluargaan. Selain itu, beliau menyatakan peringkat umur tua mempunyai kemulian juga kelemahan. Ia menggambarkan warga tua memerlukan tempat berlindung dan menumpang ketika di usia tuanya. Orang muda dilarang sama sekali mengabaikan golongan tua yang terdiri dari ibu bapa yang akan mengundang kemurkaan Allah (s.w.t.). Islam telah mengharamkan perbuatan menderhaka kepada kedua ibu bapa seperti dalam Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhārī yang berikut:

عن المغيرة بن شعبة, عن النبي صلى عليه وسلم : ان الله حرم عليكم عقوق الامهات.

Maksudnya:

            Dari Mughīrah ibn Shu’bah, Rasulullah (s.a.w.) bersabda: Sesungguhnya Allah telah          mengharamkan menderhaka kepada kedua ibu bapa.

            Berdasarkan firman Allah (s.w.t.) dan Hadis yang telah dinyatakan, maka telah menjadi kewajipan kepada golongan muda agar menghormati kedua ibu bapa dan berbuat baik serta memuliakan golongan warga tua dalam masyarakat. Memuliakan mereka adalah satu ibadah yang mendapat ganjaran dan keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Cara Menghormati

Dewasa ini golongan tua disisihkan dalam masyarakat. Mereka tidak lagi dihormati. Terdapat golongan muda yang menghina golongan ini. Hakikatnya mereka juga akan tua suatu masa kelak. Sebab proses tua adalah proses yang bermulanya kehidupan sehinggalah berlakunya kematian. Maka seharusnya golongan muda menghormati golongan tua dalam masyarakat dengan melakukan khidmat bakti kepada mereka. Antara tindakan golongan muda kepada orang tua menghormati mereka dengan cara seperti berikut:

1) Bercakap dengan lemah lembut kepada mereka.
2) Sentiasa memberi pertolongan dan bantuan ketika mereka memerlukan.
3) Mendoakan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.
4) Merendahkan diri dan bersifat tawadhuk.
5) Memberi khidmat kepada mereka dengan ikhlas.
6) Menyediakan keperluan asas seperti fizikal, mental, spiritual ketika di usia tua.

Sayangi Orang Muda

Selain itu, tanggungjawab orang tua adalah menyayangi golongan muda. Dewasa ini golongan muda kurang disayangi dalam masyarakat. Budaya buang anak, pukul anak sehingga mendatangkan mudharat dan ibu bapa membiarkan mereka dizalimi dan ditindas tanpa memberi pendidikan dan bimbingan dengan rangsangan keagamaan sangat membimbangkan.

Sedangkan sejarah membuktikan anak muda yang dilahirkan dengan penghayatan keimanan kepada Allah (s.w.t.) mampu memerintah dunia dengan adil disebabkan pendidikan yang betul dan berdisiplin dalam erti kata memberi kasih sayang yang sebenarnya. Contohnya bagaimana Salehuddin al-Ayubi ketika di usia muda telah menjadi Sultan yang hebat dan mengetuai ketenteraan menentang tentera Salibiyyah

Sayang bukan bukan bermakna menyayangi dalam bentuk fizikal semata-mata. Tetapi juga menyayangi dalam bentuk spiritual seperti pembinaan dan pendedahan kepada matlamat, visi, misi hidup di dunia dan di akhirat. Semua ini adalah bukti kasih sayang golongan tua kepada anak muda. Sebabnya jika golongan muda mempunyai misi yang hebat sudah tentu mereka juga yang akan cemerlang dan melakukan kebaikan dalam diri seterusnya mereka akan dikasihi kerana berjaya dalam kehidupan.

Selain itu, anak muda perlu diberikan bimbingan yang betul berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Al-Quran mengajar ibu bapa agar mendidik anak-anak sesuai dengan acuan al-Quran. Mereka perlu dibekalkan dengan ilmu untuk mengenal Allah (s.w.t.), kefahaman untuk melaksankan tanggungjawab sebagai hamba, khalifah dan pemimpin masa depan selain menerangkan akan tanggungjawab mereka kepada ibu bapa yang perlu mereka laksanakan. Maka mendidik golongan muda adalah tanda kasih dan sayang warga tua kepada mereka. Hal ini kerana mereka akan menjadi manusia yang berguna di kemudian hari. Sekiranya didikan dan bimbingan yang diberikan betul dan tepat pasti akan melahirkan generasi pemuda yang beriman kepada Allah (s.w.t.) dengan sebenarnya, berilmu dan beramal dalam masyarakat Islam.

Hakikat Orang Muda

Hakikatnya orang muda adalah golongan yang paling dominan dalam masyarakat. Golongan ini sering kali dikatakan golongan yang mempunyai banyak masalah sosial, mempunyai jiwa kacau, tidak jelas hala tuju dan tidak tetap pendiriannya. Sedangkan usia muda adalah satu zaman yang cukup  indah dan penuh dengan keceriaan. Semua keinginan dan kemahuan dituruti dengan penuh kegirangan yang berpanjangan. Gelak tawa, senda gurau dan keseronokkan adalah lambang kepada kehidupan anak muda masa kini.

Maka tidak hairanlah mereka seringkali alpa dan leka untuk memikirkan masa depan yang bakal menjelma. Apatah lagi memikirkan kesan dan akibat dari sesuatu perkara buruk yang bertentangan dengan la-Quran dan al-Sunnah yang telah mereka lalukan ketika di usia muda. Selain itu, golongan muda juga seringkali dipinggirkan dalam banyak situasi. Ibu bapa selalu sibuk dengan kerja-kerja yang tidak pernah habis di pejabat. Maka mereka cuba untuk membawa diri dengan cara mereka. Maka lahirlah golongan pemuda yang rosak aqidahnya, tidak tahu halal haram, tidak menghormati orang tua, kecelaruan jantina dan berhadapan dengan pelbagai kes jenayah berat.

Hakikat Sayang

Sayang adalah sesuatu yang abstrak. Ia bergantung kepada tujuan apa untuk sayang. Manusia sering kali mengatakan sayang, tetapi hakikatnya mereka merosakan anak mereka. Terdapat ibu bapa yang sayang dengan cara memberikan kemewahan hidup kepada golongan muda tanpa batasan. Bahkan kepercayaan seratus peratus tanpa ada unsur selidik menyelidiki kepada golongan ini akan mendatangkan malapetaka yang besar. Seharusnya orang tua menyayangi mereka dengan cara memberi didikan yang berterusan tanpa mengenal erti penat dan jemu. Semoga kita menjadi manusia yang menghormati golongan tua dan menyayangi golongan muda mengikut ajaran Islam. Wallahu a’lam.


          # telah diterbitkan dalam edisi cinta majalah VIC2012