Wednesday 5 December 2012

Muhammad al-Fateh

     Oleh: Faridzul
Sabtu, 03 Julai 2010 09:49
 

Sabda Rasulullah S.A.W. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul)
 akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja,
tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan
penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut.
Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan.
Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman
Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyah.
Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar
Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary R.A. telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding
kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin
dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan
tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa
mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.
Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad
Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya
sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.
PENGENALAN
Baginda dilahirkan pada 26 Rejab 835 Hijriah (29 Mac 1432 ) di Adrianapolis
(sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya
telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai
“sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran
Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun
(855 – 886H / 451 – 1481M). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan
panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda
mangkat pada hari Khamis, 4 Rabiul Awal 886 bersamaan dengan 3 Mei 1481
 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda diracun.
PENDIDIKAN
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang
 keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan
Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda
diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.
 
Di dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya
yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki,
Parsi dan Hebrew. Mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan, sains, matematik.

Di dalam bidang Ilmu politik pula, ayahandanya, Sultan Murad II, ketika memencilkan diri
di Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan
Khalifah. Ia bertujuan untuk mendidik bagina dalam usia yang sebitu muda. Walaupun
begitu baginda telah matang menangani tipu helah musuh.
KEPERIBADIAN
Muhammad al-Fatih merupakan seorang sultan yang mementingkan kekuatan dalaman
dan luaran para tenteranya. Baginda seorang pemimpin yang hebat, warak dan tawaduk
selepas Sultan Salahuddin Al-Ayubbi (pahlawan Islam dalam Perang Salib) dan Sultan
Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz (pahlawan Islam dalam peperangan di Ain Jalut
menentang tentera Mongol). Malah sifat-sifat baginda dan tenteranya telah
 diisyaratkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis.
Baginda sentiasa bersifat tawaduk dan rendah diri. Semasa membina
Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat
batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat
 menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu
berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.
PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota
Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda
juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang
dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.
Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang
 boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina
di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat
Bosphorus adalah yang paling sempit.
Selat Bosphorus dari Satelit
Benteng Rumali Hisari
Peta di dalam benteng Rumali Hisari
Bosphorus adalah sebuah selat yang memisahkan Turki bahagian Eropah dan bahagian
Asia, menghubungkan Laut Marmara dengan Laut Hitam. Selat ini sepanjang 30 kilometer,
 dan lebar maksimum 3.7 kilometer pada bagian utara, dan minimum 750 meter
antara Anadoluhisar? dan Rumelihisar?. Kedalamannya antara 36 hingga 124 meter.
Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah
dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang
melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan
Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.
Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi
membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu
Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah.
Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang
pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE
Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada
Raja Byzantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan
kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut
hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding
 tengahnya masih teguh.
MENARA BERGERAK
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi
dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin
berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
BANTUAN DARI POPE VATICAN
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata
dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk
menghalang kemaraan armada Uthmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Byzantin.
Rantai direntang sepanjang Teluk Golden Horn
Rantai yang digunakan oleh tentera Byzantin untuk menghalang armada al-Fateh
PERANG DARI PUNCAK GUNUNG
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran
72 buah kapal perang Uthmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil
kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian
diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara
tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan
Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.
Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Uthmaniyah.
Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada
malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan
mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.
MEMANJAT DAN MELASTIK DINDING
Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan
tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin
menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan
 bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.
KARISMA SEORANG PEMIMPIN
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa
bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini
Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk
mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.
Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan
kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak
 bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah
musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan
pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
PENAWANAN CONTANTINOPLE
Pada 20 Jumadil Awwal 857 / 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan
Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar
St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan
tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi
gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak
menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun
 lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan
solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak
seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah
meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini
pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya
duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat
fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Inilah dia anak didikan Syeikh
Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah
SAW di dalam hadisnya itu.
INGATAN
Memikirkan tentang kehebatan al-Fateh dan tenteranya... suatu ketika, dalam perjalanan
menuju ke Constantinople, tentera al-Fateh melalui sebuah kebun anggur yang besar dan
buahnya sedang masak ranum. Namun, sebelum melalui kebun tersebut, al-Fateh telah
mengingatkan tenteranya supaya jangan diambil anggur itu walaupun sebiji.
Perjalanan diteruskan hingga sampai di suatu tempat, mereka berehat. Setelah didirikan
khemah dan berehat, pembantu al-Fateh keluar dari khemah dengan wajah yang sugul dan
memanggil semua tentera berkumpul. Para tentera diberitahu bahawa al-Fateh telah jatuh
 sakit. Setelah diteliti oleh tabib, ubat yang diperlukan adalah sebiji anggur. Maka dia
bertanya kepada seluruh tentera, siapa yang mempunyai buah anggur, kerana jika tidak,
 mungkin al-Fateh akan terus sakit dan mati. Malangnya, tiada seorang pun tenteranya
mempunyai buah anggur. Lalu tahulah al-Fateh, bahawa tenteranya bukan sahaja kuat
dari segi fizikal, malah rohani mereka juga. Benarlah, tidak seorang pun dari tenteranya
yang mengingkari perintahnya. Maka keluarlah al-Fateh dr khemah, dan memuji
tenteranya dan menerangkan kepda mereka maksud sebenar.
Mampukah tentera kita menyaingi kehebatan tentera Islam di zaman al-Fateh