Thursday 19 December 2013

keluarga bahagia impian semua


Keluarga Bahagia Impian Semua

Oleh:

Ust. Dr. Elmi Bin Baharuddin

Pensyarah Pengajian Islam

KPTM Bangi.

Keluarga bahagia adalah impian semua manusia. Jika ditanya kepada seseorang apa impian setelah mendirikan rumah tangga pasti mereka menjawab ingin mendapatkan suami yang soleh, isteri solehah dan anak-anak penyejuk di mata serta penawar di hati.

Islam ada acuan tersendiri dalam membentuk keluarga bahagia. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dalam membentuk keluarga bahagia. Antaranya asas keluarga bahagia adalah ilmu yang menyeluruh yang meliputi ilmu agama, sains, sejarah, ilmu semasa, ilmu pertukangan, ilmu memasak dan ilmu-ilmu baru yang mempu menceriakan rumah tangga. Keluarga bahagia meletakkan ilmu pengetahuan sebagai dasar utama kelurga dimana sahaja mereka berada pasti mendapatkan ilmu dengan pembelajaran sepanjang hayat.

Selain itu, aqidah yang sahih merupakan perkara paling penting dalam pembinaan keluarga bahagia. Mana mungkin keluarga bahagia tercipta jika pegangan kepercayaannya tersesat jauh dari aqidah ahli sunnah wal jamaah. Keluarga bahagia sangat mementingkan keyakinan yang mendalam kepada Allah (s.w.t.) sebagai tempat bergantung harap dan memohon pertolongan. Jika keluarga yang dibina agak rapuh hubungannya dengan Allah (s.w.t.) sudah pasti akan melahirkan virus dan bencana iman yang bakal mendurjanakan keluarga tersebut kelembah kesyirikan, kemunafikan, kemaksiatan dan dosa.

Setersunya, asas keluarga bahagia adalah kesatuan ibadah yang istiqamah dalam kehidupan. Keluarga bahagia perlulah mengamalkan solat berjamaah bagi lelaki di surau dan masjid. Mementingkan perlaksanaan solat dhuha setia hari. Pembacaan al-Quran secara berterusan dalam rumah dengan minima bacaan satu muka. Pengamalan zikir-zikir penting pada setiap masa dan keadaan agar menjadi benteng dari gangguan syaitan jin dan syaitan manusia.  Sentiasa memohon keampunan kepada Allah (s.w.t.) sekurangnya 70 kali sehari yang menjadi sunnah kepada Nabi (s.a.w.) dalam kehidupan banginda. Memperbanyakan sedekah yang mampu menjadi benteng musibah dan bencana yang bakal menimpa. Maka kesatuan ibadah dalam keluarga bahagia perlu diterjemahkan dalam diri suami, isteri dan anak-anak agar mencintai Allah (s.w.t.) dan Rasul-Nya lebih dari diri sendiri.

Terakhirnya, pembinaan asa keluarga bahagia adalah kelestarian akhlak yang terpuji. Nabi (s.a.w.) diutuskan adalah untuk penyempurnaan yang agung. Keluarga bahagia sangat mengambil berat soal sopan santun, lemah lembut, berbudi bahasa, mohon maaf jika tersilap, ”maafkan saya” dalam kehidupan seharian. Menurut Imam al-Ghazali ”akhlak adalah perkara dan kebiasaan yang mendarah daging dalam jiwa seseorang” setelah terbiasa melakukan sesuatu tingkahlaku. Maka untuk melahirkan akhlak yang terpuji, suami isterilah terlebih dahulu berakhlak agar menjadi contoh dan suri teladan dalam diri anak-anak.

Sekiranya keempat-empat asas keluarga bahagia ini diamalkan dalam kehidupan seharian, maka semua kakitangan KPTM Bangi sama ada pihak pengurusan dan para pensyarah bakal melahirkan modal insan kelas pertama dalam dunia keluarga bahagia.
diterbitkan dalam bulletin warna KPTM Bangi....