Saturday 11 February 2012

Seni Hiburan Islam




Oleh:
Elmi Bin Baharuddin

Islam adalah satu cara hidup yang lengkap. Ia merangkumi semua aspek kehidupan dunia dan akhirat. Manusia yang mengambil Islam sebagai gaya hidup hendaklah mengambil Islam secara menyeluruh dalam kehidupan mereka. Allah (s.w.t.) telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 208:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya musuh yang nyata bagimu.”

Pemisahan amalan agama dengan keduniaan adalah bertentangan dengan Islam yang dipanggil sebagai sekularisme. Muhammad Qutb telah menerangkan perkataan sekularisme sebagai ‘iqamah al-hayat ‘ala ghayri asaasin min al-din’. Maksudnya mengatur kehidupan dengan tidak berasaskan kepada agama. Manakala mengikut Taqiyuddin pula memisahkan agama dalam kehidupan ‘fashl al-din an al-hayah’.

Maka sekularisme bukan hanya berlaku dalam pemisahan agama dengan dunia politik semata-mata, tetapi juga pemisahan agama dalam bidang hiburan. Seharusnya seni hiburan mengikut cara Islam perlu diterapkan kepada masyarakat sebagai satu fitrah dan sebahagian dari Islam.

Prinsip Seni Hiburan

Seni adalah sesuatu yang indah yang memerlukan banyak pengalaman atau kemahiran dari seseorang. Mengikut Mustafa Daud kesenian hiburan Islam adalah dicetuskan dengan niat untuk mendapat keredhaan Allah (s.w.t.) yang bertunjangkan kepada nilai tauhid, syariat dan akhlak. Justeru, kesenian hiburan dalam Islam seharusnya berunsurkan keindahan yang mampu menjadikan manusia terpesona apabila melihat atau mendengarnya serta dalam masa yang sama dapat mendekatkan diri kepada pencipta-Nya.

 Islam tidak menghalang kesenian yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan Allah (s.w.t.) menyatakan dalam surah al-Maidah ayat 87 supaya jangan mengharamkan sesuatu yang baik seperti dalam ayat berikut yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah kepadamu, dan janganlah kamu melampau batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampau batas

Selain itu, Rasulullah (s.w.t.) telah bersabda dalam riwayat Muslim yang menunjukkan Allah (s.w.t.) suka kepada keindahan seperti berikut: 

“Sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan kepada keindahan”

Justeru, Islam melihat tiga prinsip utama yang perlu diambil kira dalam seni hiburan Islam iaitu matlamat, kandungan dan sumber.

Matlamat

Kesenian Islam hendaklah bermatlamatkan kepada mencari keredhaan Allah (s.w.t.). Ia harus bertujuan membawa kepada kesejahteraan kepada masyarakat dan negara. Tujuan untuk bermegah-megah, mendapat pujian, sanjungan, membangkitkan nafsu, merosakan aqidah adalah dilarang sama sekali. Begitu juga walaupun tujuannya adalah murni tetapi perlaksanaan tidak betul, maka dikira salah dan berdosa. Contohnya mengadakan konsert kutipan derma Amal Palastin. Tetapi cara persembahan mendadahkan aurat, bercampur lelaki dan perempuan, meninggalkan solat maghrib dan isyak maka hukumnya adalah haram.

Kandungan

Islam amat menitikberatkan isi kandungan dan nilai seni hiburan yang betul. Seharusnya nilai kandungan seni hiburan adalah nilai-nilai yang boleh menghidupkan manusia dengan sentiasa ingat dan takut kepada Allah (s.w.t.). Isi kandungan seni hiburan yang terbaik adalah nilai seni yang mampu menambah keimanan, ketaqwaan dan amal soleh sama ada dari segi individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Sumber

Seni hiburan Islam mestilah bersumberkan kepada al-Quran al-Sunnah. Menghasilkan seni hiburan yang bersumberkan kepada al-Quran dan al-Sunnah sudah pasti ia menjadi seiring dengan kehendak ajaran Islam yang syumul. Maka sekiranya seni hiburan itu ada unsur pengaruh agama lain adalah haram di sisi Islam. Maka hendaklah dijauhi.

Bidang Seni Hiburan Islam

Seseorang akan terhibur melalui banyak cara. Ada orang terhibur melalui pandangan, pendengaran dan pengamalan. Namun perlu diingatkan bidang seni hiburan tersebut mestilah menggunakan prinsip-prinsip hiburan yang telah dinyatakan. Antara cabang seni hiburan Islam adalah seperti berikut:

1.      Seni Lakon: seperti lakonan filem dan drama TV.
2.      Seni Suara: seperti kemerdua, kemantapan, kelunakan vokal dalam mendendangkan senikata dan lirik yang telah digubah.
3.      Muzik: iaitu seni bunyi yang terhasil dari alat muzik yang dicipta.

Pandangan Ulama Seni Hiburan

Ulama telah memberikan beberapa garis panduan tentang seni hiburan dalam Islam. Antaranya adalah seperti berikut:

Pandangan Syeikh Rasyid Redha

Mengikut pembentangan kertas kerja Prof. Dr. Siti Rogayah Hj Tibek yang bertajuk “Seni Lakon (Drama, Teater dan Filem) Dari Perspektif  Islam” telah menyatakan fatwa yang dibuat oleh Syeikh Rasyid Reda berkenaan seni lakon iaitu pelakon yang mendedahkan aurat dan bergaul dengan bukan muhram adalah haram.

Begitu juga walaupun untuk tujuan pendidikan dalam drama atau filem yang terdapat adegan kemesraan seperti ayah dan anak gadis yang berpegangan tangan adalah haram sekiranya bukan muhramnya. Maka unsur yang bertentangan dengan Islam adalah ditegah dalam lakonan. Hal ini kerana beliau lebih mengutamakan pencegahan kerosakan berbanding sedikit kebaikan dari hasil seni lakonan tersebut. 

Pandangan Imam al-Ghazali

Hukum nyanyian dan muzik adalah harus dalam Islam. Iaitu selagi tidak bercanggah dengan syarak. Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda dalam riwayat Bukhari seperti hadis berikut:
Dari Aiyah (r.a.h) bahawa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat lelaki Ansor, maka Nabi (s.a.w.) bertanya: Hai Aisyah! Apakah mereka ini disertai dengan suatu hiburan? Sebab orang-orang Ansor gemar sekali terhadap hiburan”.

            Maka sekiranya terdapat unsur hiburan yang merosakan iman, mencemarkan agama, pendedahan aurat dan terlalai dari mengerjakan ibadah wajib adalah haram.

Pandangan Syeikh Ali Tantawi

Kertas Kerja “Seni Suara Manifestasi Dendangan Syaitan” ada menjelaskan secara langsung tentang hiburan dalam Islam. Hakikatnya Islam tidak mengharamkan senikata lagu yang terusun elok melainkan dalam beberapa perkara yang menjadi Haram seperti berikut;

1) Kerana senikatanya haram.
2) Penyanyi perempuan yang menyayikan untuk lelaki yang bukan muhramnya.
3) Masa persembahan tidak menghalang ibadah wajib.
4) Program atau majlis yang berlangsung tidak bercampur lelaki dan perempuan secara bebas.
5) Kesan nyanyian kepada pendengar yang melahirkan perilaku buruk.

Kesimpulannya

Islam adalah agama yang cukup sempurna. Maka setelah menilai seni hiburan dalam Islam, seharusnya umat Islam peka dan sensitif kepada perkara yang boleh mendatangkan dosa dari hiburan. “Berhibur tiada salahnya kerana hiburan itu indah. Hanya apa bila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah” begitu bait-bait kumpulan Raihan yang melagukan tentang keharusan berhibur dalam Islam.

Menunjukkan hiburan adalah fitrah yang disukai oleh manusia. Rasulullah (s.a.w.) selalu meminta kepada Allah (s.w.t.) tentang perkara yang mengembirakan dan menceriakan. Maka baginda memohon kepada Allah (s.w.t.) agar dijauhkan dari kesedihan seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari seperti yang berikut:

“Ya Allah, saya memohon perlindungan kepada-Mu daripada rasa bimbang dan sedih”

Semoga Allah (s.w.t.) memberi kepada umat Islam hati yang terhibur, tenang dan ceria dalam menjalani kehidupan sebagai hamba yang bertaqwa. Wallahu a’lam.
#telah diterbitkan dalam majalah VIC edisi 5