Friday 31 August 2012

kawin lari


Oleh:
Elmi Bin Baharuddin

Kahwin lari bukanlah mengucapkan ijab dan kabul dalam upacara nikah sambil berlari. Tetapi ia merujuk kepada perkahwinan yang dilangsungkan tanpa menggunakan saluran prosedur mahkamah syariah dalam hal berpoligami dan wali mujbir bagi seorang gadis. Kebiasaanya perkahwinan ini dilakukan secara senyap-senyap sahaja agar orang lain tidak mengetahuinya.

Namun begitu, Islam menyuruh umat Islam yang berkahwin agar menghebohkan kepada kaum keluarga, sahabat handai dan taulan dengan mengadakan jamuan kesyukuran walaupun hanya swngan seekor kambing. Hal ini sebagaimana yang telah diperkatakan oleh sabda Nabi (s.a.w.) ‘kendurilah walaupun dengan seekor kambing’. Ini menunjukkan hebahan perkahwinan adalah sesuatu yang mulia dan mendapat pahala dalam Islam. Perkahwinan seharusnya diwar-warkan kepada orang lain agar mereka bersangka baik sekiranya seseorang pasangan itu berjalan berduaan dan berpegangan tangan serta dapat pula mengelakkan fitnah terhadap pasangan tersebut.
 
Hakikatnya perkahwinan adalah lambang dan tanda cinta kepada setiap pasangan yang sedang bercinta. Perasaan sayang dan cinta dikotakan melalui proses perkahwinan yang sah dalam rumah tangga. Ibu bapa dan keluarga adalah insan yang sangat bahagia dan gembira bila mendapat tahu dalam keluarga mereka ada orang baru sebagai menantu dan cucu.

Alasan Wali

Namun di sebalik itu, terdapat juga segelintir dalam kalangan ibu bapa yang tidak redha dengan pilihan anak mereka. Terdapat juga ibu bapa yang telah ada pilihan sendiri. Tidak kurang juga ibu bapa yang mementingkan aspek pekerjaan bakal menantu, gajinya yang besar, rumah dan kereta yang digunapakai calon menantu.

Bahkan terdapat juga ibu bapa yang tidak mahu menantu mereka berbangsa selainnya. Terutamanya sekali orang luar negara. Hal ini kebiasaannya bagi seorang gadis. Begitu juga bagi perkahwinan yang kedua bagi suami yang telah ada isteri dalamn erti kata untuk berpoligami. Kebiasaanya bagi mengelak dari presedur biasa mahkmah syariah, mereka sanggup untuk berkahwin dengan menggunakan agen-agen yang bertauliah dan ada juga yang tidak bertauliah di luar negara.

Alasan Pasangan

Terdapat juga pasangan yang hendak kahwin lari bagi mengelakkan perbuatan zina. Apabila mereka mula bergaul dan telah ada teman lelaki mahupun perempuan, sampai satu peringkat hendak mendirikan rumah tangga, tiba-tiba dihalang oleh wali sama ada bersebab atau tidak.

Antara sebabnya pasangan tersebut masih belum tamat belajar atau hendak menunggu pekerjaan terlebih dahulu dan sebagainya. Sedangkan anak yang dihalang tersebut merasakan pilihannya adalah tepat dan terbaik. Maka bagi mengelakkan perbuatan zina dari berlaku, maka mereka akhirnya merancang untuk kahwin ke luar negara.

Selain itu, terdapat juga alasan yang mengatakan sukar berkahwin untuk kali kedua dan seterusnya disebabkan syarat-syarat tertentu. Mereka berpandangan syarat tersebut harap dapat dilonggarkan sedikit. Maklumlah wanita di Malaysia sekarang ini adalah lebih ramai dari lelaki. Tambahan pula sekiranya hendak berpoligami memerlukan kebenaran isteri dan syarat lain yang dirasakan sukar.

Hukum

Sebenarnya hukum kahwin lari adalah sah di sisi syarak dengan beberapa syarat. Antaranya:

1)      Pernikahan itu mengikut rukun nikah.
2)      Pernikahan itu melebihi dua marhalah.
3)      Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak ditempat dia bermastautin.
4)      Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.

Hal ini berdasarkan perbincangan tentang perkahwinan lari meninggalkan wali lebih dua marhalah mengikut Mazhab al-Syafie dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 adalah sah.

Penyelesaiannya

            Maka isu kahwin lari ini memerlukan jalan penyelesaian dari semua pihak sama ada pasangan, wali dan pihak berkuasa. Antaranya adalah seperti berikut:

1)      Sebagai pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga secara sah, maka beberapa perkara yang mesti anda fikirkan terlebih dahulu. Sudahkan anda membalas jasa kedua ibu bapa sekadar termampu?, Sanggupkah anda untuk tidak bersama dengan keluarga tercinta dan sahabat handai di hari bahagia?, Sanggupkah anda berpisah dengan ibu dan ayah yang telah bersusah payah membesarkan anda dari kecil hingga dewasa dan akhirnya berpisah disebabkan kekasih yang baru anda kenal satu hingga tujuh tahun sahaja dari memilih ibu dan ayah anda?.
2)      Maka walaupun perkahwinan lari sah di sisi syarak, tetapi kesan yang akan datang lagi banyak dari kebaikkannya. Maka apalah sangat jika anda terpaksa memilih dan mentaati ibu dan ayah selagi ibu dan ayah anda tidak mengajak menderhaka Allah (s.w.t.). Begitu juga dengan pasangan yang hendak berpoligami. Sekiranya jodoh anda, pasti Allah (s.w.t.) akan pertemukan juga dari berkahwin lari.
3)      Selain itu, pihak wali juga hendaklah memahami pilihan anak sendiri. Tanggungjawab seorang wali terutamanya ibu dan ayah hendaklah ialah membesarkan, memberi pendidikan agama dan mengahwinkan mereka apabila sampai jodoh mereka. Maka berilah anak-anak anda peluang untuk memilih bakal pasangan mereka dengan syarat yang anda tentukan. Sekiranya anda melarang hubungan tersebut mestilah memberi altenatif sebagai gantian. Sekiranya mereka memilih yang tidak sekupu seperti kaki judi, kaki arak, penghisab dadah dan sebagainya barulah anda melarang hubungan tersebut.
4)      Begitu juga pandangan agar prosedur mahkamah syariat dilonggarkan sedikit agar proses perkahwinan hari ini dapat dimudahkan bagi mengelakkan kes kahwin lari.

Kesimpulannya

Hakikatnya, perkahwinan lari adalah altenatif bagi segelintir pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga tetapi terhalang. Semoga Allah (s.w.t.) memberi kepada pasangan yang kahwin lari ini petunjuk agar mereka memikirkan terlebih dahulu kesan dari segi emosi dan mental di hari kemudian. Kadang-kadang bukan semua yang kita harapkan akan kita miliki. Kita hanya seorang hamba. Jodoh, pertemuan dan mati adalah di ketentuan Allah (s.w.t.). Wallahu a’lam.
@ telah diterbitkan oleh VIC 2012