Saturday 1 October 2011

Pengurusan Masjid Yang Efektif Membentuk Persekitaran Dakwah Islamiyyah

Oleh: Elmi Baharuddin
Masjid merupakan rumah Allah (swt) yang didirikan sebagai tempat beribadah dan pengabdian kepada-Nya. Ia hendaklah difungsikan sebagai pusat aktiviti keagamaan seperti ceramah-ceramah agama, forum-forum, seminar-seminar dan sebagainya. Namun perlu diingatkan, pengurusan masjid yang baik dan mampu membina masyarakat adalah masjid yang didirikan atas dasar taqwa kepada Allah (s.w.t.). Hal ini sebagaimana maksud firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 108:
"Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamnya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba') sejak hari pertama adalah lebih patut bagi kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orabf yang ingin mebersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih"
Kalau ditelusuri jejak sejarah, peranan masjid di samping sebagai pusat ibadah, ia juga berfungsi sebagai markas pertahanan serangan musuh. Di masjid juga sering diadakan musyuarat untuk membicarakan strategi penyerangan dan kemungkinan serangan pihak musuh kepada Negara Islam. Begitu juga di masa hayat Rasulullah (saw), masjid tidak hanya digunakan sebagai tempat solat dan ibadah yang sejenisnya sahaja, tetapi juga sebagai tempat untuk mempereratkan hubungan dan ikatan umat Islam yang baru lahir. Rasulullah (saw) menggunakan masjid sebagai tempat menjelaskan wahyu yang diterimanya, memberi jawapan dari pertanyaan para sahabat tentang pelbagai masalah, memberi fatwa, mengajar agama Islam, membudayakan mesyuarat, menyelesaikan masalah-masalah, tempat mengatur dan membuat startegi jihad serta tempat menerima utusan-utusan dari semenanjung Arab.
Jika diperhatikan perkembangan pembinaan masjid di seluruh dunia hari ini semakin bertambah dengan bertambahnya jumlah masyarakat Islam baik disebabkan faktor dakwah Islamiah yang menyeluruh mahupun keyakinan masyarakat non-muslim kepada ajaran Islam yang tertarik dengan keindahan Islam itu sendiri. Namun perkembangan dakwah Islamiah tidak akan mencapai objektif yang jelas tanpa pengurusan masjid yang efektif dalam masyarakat hari ini.  Justeru, pengurusan masjid hendaklah dilakukan dengan lebih efektif dengan meninjau segala aspek dakwah Islamiah secara optima dan menyeluruh.
Hakikatnya, dakwah Islamiah adalah seruan baginda (saw) yang pertama, yang tertanam kuat di hati mukmin dan menjadi buah bibir di lidah mereka. Para sahabat dengan bersungguh-sungguh menanamkan benih keimanan di hati umat Islam agar mampu diamalkan di seluruh kegiatan hidup, agar jiwa, dan hati mereka bersatu. Maka jika para pengurus masjid berbuat demikian niscaya Allah (swt) akan menolong, membantu dan menunjukkan mereka jalan yang lurus.
Hal ini kerana seruan dakwah adalah menjadi kewajipan kepada semua masyarakat muslim. Allah (swt) telah meletakan mereka yang berdakwah adalah golongan yang beruntung seperti dalam surah ali-Imran ayat 104:
"Dan hendaklah ada dikalangan kamu sagolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran, merekalah orang yang beruntung"
Menyedari hakikat ini, dakwah Islamiah yang tersusun rapi melalui peranan masjid adalah sangat penting diurus dan ditadbir dengan baik. Segala aktiviti masjid diklasifikasikan sebagai dakwah Islamiah yang mampu memberi impak maksima kepada masyarakat. Masjid harus menitikberatkan aspek pembinaan Aqidah Islamiah yang benar, Ibadah al-Shahihah mengikut acuan Rasulullah (saw), akhlak al-Karimah sebagaimana yang ditunjukan oleh baginda dan dakwah Islamiah yang berjalan sepenjang masa. Keempat-empat komponen tersebut menjadi dasar ajaran Islam yang bertujuan mempromosikan Allah swt kepada manusia sebagai Tuhan yang berhak disembah dan diagungkan dalam kehidupan yang lebih luas. Maka dalam konteks pengurusan masjid yang efektif adalah sangat penting diurus dengan baik dan berkesan agar dakwah Islamiah dapat dikembangkan dengan baik seterusnya dapat  membentuk dakwah yang berkesan.
Persoalannya adakah pengurusan masjid hari ini berperanan dengan baik sehingga mampu membentuk dakwah yang berkesan? Hakikatnya masjid adalah sebuah institusi masyarakat yang sangat penting dalam Islam. Bahkan merupakan pusat kecemerlangan dalam melahirkan generasi yang bertaqwa dan mendapat keampunan Allah (swt). Seharusnya para pengurus masjid hendaklah merancang, melaksana dan menggembeleng tenaga agar dakwah yang efektif dan berkesan dapat dibentuk. Islam melihat masjid bukan hanya sekadar untuk solat lima waktu sehari semalam sahaja, tetapi ia menjadi nadi dan pusat dakwah yang unggul.
Antara matlamat dan halatuju pengurusan masjid yang efektif adalah memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya aqidah yang benar kepada umat Islam. Kupasan dan huraian tentang perkara tersebut hendaklah dijadikan silibus bersijil melalui pendekatan Islam dalam program ilmiah di masjid. Maka ia mampu melahirkan masyarakat yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi.
Selain itu, pihak pengurusan masjid juga hendaklah merangka program-program yang sesuai untuk golongan remaja, pemuda, dewasa dan golongan tua (warga emas). Pihak pengurusan masjid hendaklah mewujudkan kembali rakan muda masjid secara tersusun. Slot ceramah khusus untuk golongan remaja adalah sangat penting bagi melahirkan dakwah yang berkesan dan efektif kepada golongan ini. Selain itu, kursus jangka pendek seperti kem solat, kem al-Quran dan kem anak soleh mampu membina jati diri remaja seterusnya menjadikan pengurusan masjid berjaya membentuk dakwah kepada golongan dengan lebih tarancang dan tersusun.  
Selain itu, golongan pemuda, dewasa dan tua juga hendaklah diraikan dengan perancangan dan perlaksanaan kursus dan kuliah yang sesuai bagi mereka. Golongan pemuda dan dewasa adalah golongan yang mendominasi dalam masyarakat negara. Manakala golongan tua perlu dihormati di samping dengan memberi keselesaan untuk mereka melakukan ibadah dengan lebih tenang. Seharusnya pihak pengurusan masjid lebih mesra dengan golongan ini seperti memberikan pengiktirafan dengan mengambil kira pandangan dan cadangan mereka dalam membuat satu-satu keputusan. Bahkan kuliah-kuliah yang berkaitan dengan rumah tangga, penjagaan anak-anak yang berkesan, fiqh dakwah, adad-adab dalam membaca al-Quran adalah sangat penting kepada mereka. Hakikatnya banyak lagi kuliah-kuliah agama yang perlu di rancang oleh pihak pengurusan masjid agar dakwah yang berkesan sampai kepada masyarakat dengan lebih berkesan.
Sementara itu, pusat kegiatan ekonomi juga perlu dibangunkan di kawasan masjid dengan menyeluruh dan meluas lagi. Hal ini mampu meyakinkan bahawa Islam tidak memisahkan agama dengan kehidupan. Hal ini sebagaimana Allah swt berfirman dengan maksud, “Apabila telah ditunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung”. (surah al-Jumaah: 10). Ayat ini menunjukkan setelah selesai urusan dengan Allah swt, maka urusan dunia boleh diteruskan serta merta. Selain itu, perkhidmatan perbankan, insuran dan perkhidmatan penting berhampiran dan jika mampu dalam perkarangan masjid. Usaha ini akan mendekatkan institusi kewangan ekonomi kepada masjid.
Persoalannya, kadang-kadang banyak program yang telah dirancang oleh pihak pengurusan masjid tetapi promosinya agak kurang berbanding promosi bagi program yang lain. Bahkan terdapat masjid yang penuh dengan jadual kuliah-kuliah agama dan program-program keagamaan dengan lebih teratur dan tersusun. Namun pengunjungnya pula yang kurang dan tidak mendapat sambutan dari jamaah dan lebih banyak tiang dari orangnya. Justeru, pihak pengurusan masjid hendaklah lebih kreatif untuk memakmurkan masjid dan surau agar masyarakat kembali cintakan masjid. Program jom ke masjid hendaklah diteruskan dan diperluaskan sama ada dari segi media cetak, elektronik mahupun pihak kerajaan.
Secara keseluruhannya, pihak pengurusan masjid hendaklah memikirkan tentang matlamat jangka pendek dan panjang, menentu jenis kegiatan masjid, menyusun struktur pengurusan masjid dan membangunkan kemudahan-kemudahan yang terbaik kepada pengguna masjid. Antara kemudahan yang perlu ditingkatkan adalah seperti ruangan solat yang bersih, bilik perpustakaan yang lengkap, bilik penginapan ala-ala hotel bagi musafir, bilik seminar, bilik air sentiasa bersih, kawasan persekitaran masjid yang cantik dan pusat riadhah yang dirasakan perlu. Sekiranya para pengurusan masjid mampu mengurus dan mentadbir dengan baik, maka proses penyebaran dakwah akan terbentuk dengan sendirinya. Wallahu'alam. 
Artikal ini telah diterbitkan oleh Majalah VIC dalam edisi ke-2

No comments:

Post a Comment