Friday 16 September 2011

Yakin Mampu Membina Kekuatan Diri

Oleh: Elmi Baharuddin
Yakin adalah kuasa terpenting dalam membina suatu kejayaan gemilang. Ramai manusia yang berjaya setelah menanam benih keyakinan dalam diri untuk terus mengekalkan kejayaan. Kejayaan adalah sesuatu yang abstrak mengikut fungsi dan keadaan bagi seseorang. Ada orang yang berjaya dalam hidup mereka dengan dikurniakan ilmu yang banyak, tapi amalannya pula kurang. Ada juga orang yang berjaya dalam bidang perniagaan, tetapi keluarganya tidak terurus dengan baik, huru hara dan pecah belah berlaku. Ada pula orang yang berjaya membina kayakinan diri yang mantap tetapi imannya dengan Tuhan tiada. Adakah mereka ini yang mempunyai keyakinan sehingga mampu membina kekuatan dalam diri?

Justeru, keyakinan adalah kuasa yang pasti dan jelas dalam diri seseorang. Orang yang mempunyai keyakinan akan mampu melakukan perubahan demi perubahan sebagaimana yang dihasratkan bagi mereka. Allah swt telah berfirman “Sesungguhnya Allah swt tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum tersebut mengubahnya”. Ayat al-Quran ini tidak bermakna Allah swt tidak masuk campur dalam mengubah diri seseorang. Perlu diingatkan, berlaku perubahan dalam diri seseorang adalah setelah anda melakukan hak-hak Allah swt dengan amanah, jujur dan bertanggungjawab serta mengikut jadual yang selari sebagaimana telah ditentukan oleh Tuhan sejak azali lagi. Mana mungkin seseorang yang yakin mampu melahirkan kekuatan yakin untuk berubah sebelum berusaha dan tawakkal kepada Tuhan.

Seorang ayah akan mampu melakukan perubahan pada keluarga setelah memiliki keyakinan yang jitu untuk boleh merubah keluarga. Bagi melahirkan keluarga bahagia sebagaimana yang di sebut selalu “rumahku syurgaku” memerlukan titik perubahan dalam segenap aspek seperti kuatkan kasih sayang, kesatuan pemikiran, kesatuan aqidah, kesatuan ibadah dan kesatuan akhlak yang berterusan dalam rumah tangga. Seorang ayah yang mempunyai keyakinan dengan Islam akan mengambil cara hidup Islam untuk menghiasi keluarganya. Berlaku kecelaruan dalam keluarga disebabkan keluarga tersebut telah mengambil cara hidup yang bertentangan dengan budaya hidup Islam.

Begitu juga seorang pelajar yang mempunyai keyakinan tinggi untuk berjaya tidak akan melupakan Tuhannya dalam setiap gerak dan dengupan jantung. Bahkan keyakinannya kepada Allah swt akan menghasilkan pelajar yang jujur, amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab kepada ibu ayah, guru dan masyarakat. Mana mungkin seorang pelajar yang meyakini perilakunya sentiasa diperhatikan oleh Tuhan yang Maha Melihat dan Maha Mendengar untuk melakukan sebarang kejahatan dan maksiat sebagai contoh ponteng kelas, tidak melakukan kerja sekolah dan bergaduh. Maka keyakinan kepada Allah swt adalah satu kunci untuk seseorang mampu berjaya dalam hidup yang lebih sempurna.

Yakin adalah sangat berbeza dengan orang yang mengetahui atau berilmu. Orang yang mengetahui hanya sekadar tahu sahaja. Belum pasti bagaimana rasa sama ada nikmat dan sebaliknya. Sedangkan yakin adalah mereka yang telah merasakan sesuatu perkara melalui ujian yang dilalui, kajian yang dilakukan dan merasai dengan kenikmatan atau kesengsaraan sehingga menjadi benar-banar yakin wujud dalam diri tanpa ragu. Bila seseorang bertanya kepada anda bagaimana rasa buah durian. Mungkin sahaja anda menjawab rasa sedap. Tetapi adakah anda yakin sedap sebelum anda mencuba dengan merasanya? Atau bergantung kepada kebiasaan sahaja. Ya biasanya buah durian sedap dan manis. Atau mungkin sahaja anda belum mencuba merasai nikmat buah tersebut. Bagi sesetengah yang telah merasai sedap buah durian pasti akan menjawab dengan penuh yakin dan terbukti.

Justeru, yakin pada diri akan melahirkan jiwa berjaya. Ada orang bertanya kenapa anda kenapa perlu terus menerus menyambung pelajaran diperingkat lebih tinggi. Sedangkan anda masih memerlukan pengalaman terlebih dahulu. Setelah ada pengalaman baru sambung belajar ke peringkat seterusnya. Sebenarnya jika anda meletakan diri anda di tempat yang tinggi, sudah tentu anda akan mempersiapkan diri anda seperti ke tahap tersebut. Jika anda yakin teruskan niat dan usaha anda tersebut. Pasti Allah swt akan memudahkan bagi anda sebagaimana yang telah anda niat dan usahakan. Sebab Allah swt menyatakan dalam al-Quran “tidaklah Kami mentaklifkan (membebankan) kamu melainkan kamu mampu”. Nah ayat ini membuktikan seseorang yang telah dibebankan dengan sesuatu bebanan adalah mengikut kemampuan yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Cuma sama ada yakin ataupun tidak. Namun jika anda yakin mampu melakukan suatu perkara yang boleh mendapat keredhaan Tuhan, maka lakukanlah dengan bersungguh-sungguh. Sebab keyakinan akan datang setelah anda menghadapi ujian dengan penuh kesabaran, menghayati dengan penuh keimanan dan akan di akhiri dengan sebuah kejayaan yang penuh dengan nikmat yang tidak disangka-sangkakan. Wallahu a’lam.
artikel ini telah diterbitkan oleh Majalah VIC edisi ke-4

No comments:

Post a Comment